JOHOR BAHRU, 19 NOV : Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam sempena Pelantikan Presiden Ketujuh Kelab Rotary Johor Bahru Sentral di Trove Hotel, di sini, Jumaat lepas.
Pada majlis tersebut, Eric Chang Pau Wah telah dilantik sebagai Presiden ketujuh Kelab Rotary Johor Bahru Sentral, menggantikan Vijendran Vengadesan.
Di majlis yang sama, kelab itu turut memperkenalkan barisan kepimpinan bagi penggal 2019-2020.
Tunku Idris, yang juga Penaung DiRaja bagi kelab berkenaan, turut berkenan menerima cek berjumlah RM 15,000 untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Kelab Rotary Johor Bahru Sentral merupakan organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang mula bertapak pada tahun 1952.
Misi utama kelab ini adalah untuk membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan melalui projek sosial dan aktiviti kemasyarakatan.
JohorKini