BM | EN | 中文

Tunggakan gaji Perak FC tak sepatutnya berlaku

Perak_FC.jpg
Advertisement

IPOH, 10 MEI: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menganggap kelewatan pengurusan Perak FC melunaskan tunggakan gaji pemain skuad The Bos Gaurus merupakan satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dalam era bola sepak profesional.

Pemangku Presiden PAFA Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata ini kerana pengurusan Perak FC seharusnya telah membuat perancangan teliti dalam semua aspek termasuk pembayaran gaji para pemain bagi memastikan tiada sebarang perkara di luar jangkaan berlaku.

“Kalau dah dilantik dan duduk dalam pengurusan tertinggi (Perak FC), patutnya mereka tahu gaji para pemain ini merupakan antara faktor terpenting.

Advertisement

“Mereka perlu tahu bagaimana mencari dana dan pastikan perjalanan pasukan berada dalam keadaan baik dalam mengharungi kancah liga sepanjang musim,” katanya, lapor Bernama.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Rizal Ali Naizali pada sidang media menjelaskan pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi April sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Rizal turut memaklumkan tindakan pemain memboikot sesi latihan pada 7 Mei lepas adalah disebabkan perselisihan faham dan telah diselesaikan selepas perbincangan antara kedua-dua pihak.

Advertisement

Muhammad Yadzan berkata beliau percaya tindakan memboikot sesi latihan yang dilakukan pemain Perak itu bukannya dilakukan secara suka-suka sebaliknya adalah langkah terakhir bagi memastikan hak mereka terbela.

“Bukan saya kata saya bersetuju dengan apa yang pemain buat. Cuma kita sendiri pun boleh menilai perkara tersebut dan tindakan yang mereka buat itu mungkin bersebab serta mahukan hak yang sepatutnya mereka dapat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata PAFA berkemungkinan besar akan melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap barisan pengurusan Perak FC sekiranya ada mana-mana pihak yang sanggup menawarkan diri menjadi penaja kepada skuad The Bos Gaurus bagi mengharungi baki saingan pada musim ini.

Advertisement

“PAFA masih lagi merupakan pemegang taruh terbesar dalam Perak FC. Jadi kami masih ada hak ke atas Perak FC. Bagi saya, kalau ada mana-mana pihak yang sanggup taja, kita akan berbincang. Kalau kedua-dua pihak setuju, kita akan buat rombakan untuk pastikan masalah seumpama ini tidak akan berulang,” katanya.

Mengulas penghijrahan ketua pasukan Shahrul Saad dan penyerang kelahiran Brazil Guilherme De Paula ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), katanya ia merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan Perak memandangkan kedua-duanya merupakan tunjang utama dalam barisan kesebelasan pasukan.

“Tapi apakan daya kita untuk halang mereka selepas apa yang berlaku. Cuma, saya harapkan para pemain yang ada, akan terus komited untuk memastikan Perak terus kekal dalam liga,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top