JOHOR BAHRU, 3 FEB : Tular di laman sosial seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis berjaya dicekup di Batu Pahat, semalam.
Lelaki yang lengkap dengan berpakaian uniform polis itu didakwa sedang melakukan risikan dan pemantauan mat rempit ketika ditahan.
Perkara berkenaan disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai dalam satu kenyataannya semalam.
Katanya, remaja usia 19 tahun berkenaan ditahan semasa penguasaan anggota dan pegawai polis di sekitar Parit Raja, dekat sini, kira-kira pukul 2.45 pagi.
Menurutnya, remaja terbabit yang juga penuntut sebuah kolej di daerah ini turut memperkenalkan diri sebagai pegawai berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang sedang memantau penugasan polis di Batu Pahat.
“Bagaimanapun timbul kecurigaan terhadap identiti berkenaan, anggota bertugas terus melakukan pemeriksaan dan mendapati sepucuk pistol palsu bersama remaja yang menyamar ini, selain sekeping gambar berukuran saiz pasport berseragam polis.
“Turut ditemui adalah beberapa aksesori seragam serta peralatan kerja seorang pegawai polis seperti topi, jaket kalis peluru, kunci gari, lampu suluh serta pisau,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, suspek menyatakan kesemua aksesori dan peralatan berkenaan dibeli secara dalam talian sejak beberapa bulan lalu.
Jelasnya, melalui siasatan lanjut remaja berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dadah, selain negatif bahan terlarang terbabit.
Lelaki terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran.
“Jika sabit kesalahan suspek berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan juga denda sehingga RM5,000,” katanya lagi.
Johorkini