BM | EN | 中文

Tujuh pemburu haram termasuk paling dikehendaki ditahan dalam Op Khazanah

jabatan-perlindungan-.hidupan-liar-dan-taman-negara.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Seorang lelaki tempatan yang sangat dikehendaki kerana aktif memburu gajah, harimau serta spesies hidupan liar lain antara tujuh individu yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bermula 7 hingga 13 Julai lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 10 Julai lepas di Jerantut, Pahang dan pihaknya percaya dengan penahanan tersebut beberapa kes melibatkan pemburuan gajah sejak tiga tahun lepas berjaya diselesaikan.

Beliau berkata selain lelaki itu, operasi yang dilaksanakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Perhilitan tersebut turut menahan tiga lagi lelaki tempatan, dua warga Kemboja serta seorang warga Vietnam di lokasi berbeza iaitu di Kluang, Johor; Jerantut, Pahang; Gua Musang, Kelantan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Advertisement

“Antara barangan yang dirampas ialah dua senapang patah, empat jerat dan pelbagai peralatan memburu serta 7.5 kilogram (kg) daging labi-labi, empat cengkerang labi-labi, 4.4 kg daging babi hutan dan lima ekor musang pulut yang sudah dibakar.

“Semua individu yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu ditahan dan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan Negara 1984 dan Akta Senjata Api 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak pelaksanaan OBK siri 1 hingga siri 11 tahun ini, sebanyak 38 kes tangkapan dibuat membabitkan 50 warga tempatan dan 22 warga asing iaitu enam warga Indonesia, tujuh warga Kemboja, lima warga Vietnam dan empat warga Sudan.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top