BM | EN | 中文

Tujuh keluarga ‘Geng Syed’ terlibat sindiket dadah di Johor Bahru diberkas

polis-jenayah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 2 OKT: Tujuh sekeluarga dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, berjaya ditumpaskan dalam empat serbuan awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keluarga berkenaan yang dikenali sebagai ‘Geng Syed’ itu diketuai oleh ketua keluarga berusia 64 tahun dan turut dianggotai isterinya, dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan dua menantu (seorang lelaki dan seorang perempuan).

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan pada serbuan bermula pukul 7 pagi tadi, berusia antara 35 hingga 64 tahun dan merupakan warga tempatan kecuali seorang wanita warga Thailand (menantu perempuan).

Advertisement

“Suspek utama yang berusia 64 tahun, pernah ditahan sebelum ini pada 2003 dan menjalani penjara selama 10 tahun atas kesalahan dadah dan dibebaskan pada tahun 2013.

“Pihak polis juga merampas 109 kilogram ganja bernilai RM272,500, selain menyita lima buah kereta dan tiga buah motorsikal dengan anggaran nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM486,340,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Ayob Khan berkata turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah wang tunai berjumlah RM23,190, serta 170 dolar Singapura (RM510).

Advertisement

Hasil saringan air kencing pula mendapati suspek utama positif dadah jenis Methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati dua suspek lain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Menurut beliau, kejayaan operasi tersebut ekoran daripada beberapa serbuan dan tangkapan yang dilakukan bermula Mei lepas.

“Pihak polis percaya sindiket terbabit telah aktif beroperasi sejak tahun lepas dan saki-baki sindiket itu sedang dikesan.

Advertisement

“Bekalan dadah dipercayai diperolehi dari negara Thailand yang kemudiannya dibawa ke negeri ini untuk pasaran tempatan,” katanya.

Kesemua suspek akan ditahan reman mulai esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Ayob berkata sejak 1 Jan sehingga 30 Sept lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menangkap 14,886 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan kira-kira 2.164 tan dadah dirampas bagi tempoh sama, dengan nilai keseluruhan bernilai RM12.45 juta.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top