JOHOR BAHRU, 29 OGOS: Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat mucul tempat pertama dalam ‘Program Young Entrepreneur Success (YESS) 2019’ peringkat negeri Johor, sekaligus bakal membawa cabaran negeri ke peringkat kebangsaan.
Koperasi MRSM Batu Pahat, yang mempertaruhkan pelembabnya yang tersendiri, muncul juara setelah menewaskan saingan lapan lagi koperasi di peringkat negeri, dengan koperasi SMK Laksamana, Kota Tinggi di tempat kedua dan MRSM Mersing di tempat ketiga
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pertandingan tahun ini lebih sengit berbanding edisi lepas kerana koperasi yang bertanding perlu melepasi saringan awal melalui Program Azam Usahawan Muda di peringkat zon masing-masing sebelum ke pentas akhir hari ini.
“Program Usahawan Muda dan Program YESS 2019 telah diambil kira dalam ‘titik fokus 127’ dalam Belanjawan Johor 2019 yang mana kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan RM 200,000 sebagai pembiayaan agar program berbentuk keusahawanan ini dapat dilaksanakan secara kolektif dan komprehensif,” Sheikh Umar berkata.
Beliau bercakap demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan ‘Program Young Entrepreneur Success (YESS) 2019’ yang berlangsung di Hotel M-Suite Hotel, di sini, hari ini.
Sheikh Umar, yang juga merupakan Adun Paloh, berkata koperasi sekolah boleh memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan usahawan muda dalam negara.
“Dalam aspek latihan keusahawanan, koperasi sekolah merupakan wadah berkesan yang menawarkan peluang untuk para pelajar berniaga, mentadbir dan mengurus koperasi serta mendapat kemahiran insaniah”, katanya lagi.
Sehingga kini, sebanyak 272 buah koperasi sekolah telah diwujudkan dalam negeri Johor bagi mengetengahkan bakat dan daya keusahawan murid dan pelajar sekolah masing-masing.
Johorkini