BM | EN | 中文

Tosrin wujud pejabat terbuka, mudah rakyat berurusan

tosrin-pejabat-terbuka-1.jpg

Antara individu yang datang ke pejabat terbuka yang diadakan Tosrin (kiri) di Pasar Tani Jalan Kenari di Bandar Putra

KULAI, 12 FEB : Adun Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi mewujudkan pejabat terbuka bagi memudahkan rakyat di kawasan berkenaan berurusan dengannya.

Katanya, konsep tersebut yang dimulakan semenjak beliau menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dinamakan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat.

“Konsep pejabat terbuka ini melibatkan pasar tani dan pasar pagi di Bandar Putra. Program ini dimulakan semenjak saya menang menjadi ADUN Bukit Permai dan masih diteruskan meskipun saya sudah menjadi exco kerajaan negeri.

Tosrin menunjukkan borang aduan rakyat yang boleh diisi oleh ramai

“Pejabat terbuka saya ini secara santai yang mana hanya khemah tetapi turut dilengkapkan kakitangan termasuk mesin fotostat serta dokumen berkaitan.

“Jadi, semua aduan rakyat yang memerlukan dokumen yang perlu difotostet boleh dilengkapkan di sini. Malah, kita turut menyediakan borang aduan dan orang ramai boleh membuat apa jua bentuk aduan dengan mengisinya dan kemudiannya saya akan hantar sendiri ke jabatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada JohorKini ketika ditemui di pejabat terbukanya yang diadakan di Pasar Tani Jalan Kenari dekat Bandar Putra, di sini, semalam.

Tosrin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri memberitahu, beliau sendiri akan berada di lokasi yang ditetapkan.

“Untuk zon Bandar Putra saya buat empat kali sebulan yang mana minggu pertama dan ketiga saya berada di Pasar Pagi Jalan Merbau bermula jam 8 hingga 11 pagi. Bagi minggu kedua dan keempat pula saya buat di Pasar Tani Jalan Kenari pula dari jam 4.30 petang hingga 7 malam.

“Manakala, untuk zon-zon lain, saya pergi setiap bulan yang mana saya guna dewan raya atau balai raya untuk saya adakan pejabat terbuka dan saya maklumkannya kepada ketua kampung atau pengurusan Felda,”katanya.

Tambah beliau lagi, sekurang-kurangnya 30 individu datang bertemu dengannya pada setiap kali sesi pejabat terbuka diadakan.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top