JOHOR BAHRU, 10 MEI: Sehingga kini, pengagihan topeng muka telah dilakukan merangkumi 90 peratus penduduk Johor melibatkan 982,600 ketua isi rumah dengan setiap keluarga menerima sebanyak empat keping.
Perkara tersebut dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan dalam kemaskini situasi semasa kes Covid-19 di Johor, hari ini.
“Untuk makluman, bermula PKP pada 18 Mac lalu hingga semalam, sebanyak 3,537,360 topeng muka telah diterima oleh Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan
“Hingga kini, pengagihan telah dilakukan merangkumi 90 peratus penduduk Johor melibatkan 982,600 ketua isi rumah dengan setiap keluarga menerima sebanyak empat keping topeng muka,” kata Vidyananthan satu kenyataannya.
Tambah beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri dipertanggungjawabkan untuk melakukan penghantaran sebelum agihan kepada komuniti dilakukan.
Antara badan yang terlibat adalah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Badan Pengurusan Bersama (JMB), Ketua Taman, Tuai Rumah dan jawatankuasa yang telah dipertanggungjawabkan.
“Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, sebanyak lapan daerah telah mencapai pengagihan 100 peratus.
“Dua lagi daerah, iaitu Johor Bahru dan Segamat, masing-masing sebanyak 98 peratus dan 95 peratus agihan hingga kini,” kata Vidyananthan yang juga Adun Kahang.
Johorkini