‘TOP GUN’ PH AKAN MULA HADIR PADA MINGGU KEDUA KEMPEN
Pimpinan utama PH akan turun padang membantu kempen calon PH, Karmaine Sardini

‘TOP GUN’ PH AKAN MULA HADIR PADA MINGGU KEDUA KEMPEN

 

Oleh: Khairul Mohd Ali

PONTIAN, 8 NOV: Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) akan mula ‘menyerbu’ Parlimen Tanjung Piai memasuki minggu kedua tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu, antaranya termasuklah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memasuki minggu kedua berkempen ini, pemimpin utama akan turun memberi sokongan kepada calon PH.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka turun Isnin ini untuk menyertai empat sesi ceramah sebelum diikuti Tun Dr Mahathir serta barisan kepimpinan PH yang lain,” katanya kepada wartawan yang ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Teluk Kerang, di sini.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Utama turut memberitahu, pihaknya sendiri sempat menghadiri tiga program semalam sejurus tiba dari Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan kepada calon PH.

Menurutnya, beliau bagaimanapun mengakui terdapat sedikit kekangan masa kerana adanya sesi Parlimen, namun pihaknya yakin semakin ramai pemimpin utama akan hadir.

Beliau turut menyeru pengundi termasuklah yang menetap di luar kawasan ini untuk pulang dan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memastikan calon terbaik memenangi PRK ini.

“Saya yakin pengundi akan memilih calon PH agar pelbagai rancangan pembangunan yang telah dimulakan sebelum ini dapat diteruskan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga dimaklumkan sekitar 30 peratus pengundi parlimen ini masih belum membuat keputusan calon mana yang akan dipilih mereka.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )