BM | EN | 中文

TMJ kemuka kebimbangan pelaksanaan SOP rentas sempadan JB – Singapura

TMJ-kemuka-beberapa-kebimbangan-pelaksanaan-SOP-rentas-sempadan.jpg

Gambar Ehsan FB HRH Crown Prince of Johor

JOHOR BAHRU, 14 OGOS: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengemukakan beberapa kebimbangan mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) rentas sempadan Malaysia dan Singapura ketika lawatan baginda di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook Tunku Ismail semalam, baginda bertitah pihak berkuasa berkaitan telah berjanji untuk menyelesaikannya sebelum sempadan dibuka semula, pada 17 Ogos ini.

“Saya juga telah menasihatkan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Kesihatan untuk menerbitkan garis panduan mudah dan jelas untuk individu yang ingin merentas sempadan ini di laman sesawang dan saluran media sosial mereka terutamanya mereka yang tinggal di Johor dan Singapura,” titah Tunku Ismail dalam hantaran berkenaan.

Menurut hantaran terbabit, Tunku Ismail memaklumkan baginda hari ini mengunjungi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, BSI untuk menerima taklimat dan memerhatikan SOP baharu untuk pembukaan rentas sempadan menerusi Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang akan dilaksanakan pada 17 Ogos ini.

“Saya mengambil berat tentang isu keselamatan rakyat Johor dan berharap agensi-agensi yang terlibat dapat melakukan persediaan terbaik dan rapi untuk mengekang COVID-19,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Ismail tiba di BSI pada kira-kira 3.30 petang dan menerima taklimat tertutup SOP pembukaan rentas sempadan berkenaan daripada Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

RGL akan membabitkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi manakala PCA pula bagi pemegang pas imigresen jangka panjang di kedua-dua negara tersebut.

RGL akan membabitkan had kemasukan 400 orang seminggu manakala PCA 2,000 orang sehari.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top