JOHOR BAHRU, 4 DIS : Rakyat Johor berhak untuk mendapatkan kemudahan yang terbaik bagi kesenangan hidup mereka titah Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah demikian dalam status yang dimuatnaik di Facebook HRH Crown Prince of Johor kelmarin berkenaan kebakaran wad ICU di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang telah berlaku tiga tahun lalu.
“Kita pasti tidak dapat melupakan kejadian yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, iaitu kebakaran wad ICU di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru tiga tahun yang lalu.
“Kejadian tersebut telah menyebabkan enam pesakit terkorban, dan ini sepatutnya menjadikan kita lebih teliti dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.
“Saya mengikut rapat perkembangan mengenai isu ini dan telah membuat lawatan ke wad berkenaan pada tahun lepas, iaitu pada 1 November 2018,”titah baginda.
Bagaimanapun baginda menyatakan kekecewaan susulan keadaan wad itu yang masih mempunyai kesan kebakaran dan seolah-olah tiada usaha untuk memperbaiki atau memulihkannya.
“Setelah satu tahun berlalu, saya sekali lagi membuat lawatan ke wad berkenaan, namun keputusannya amatlah mengecewakan.
“Saya terkejut melihat keadaan wad itu yang masih mempunyai kesan kebakaran dan seolah-olah tiada usaha untuk memperbaiki atau memulihkannya walaupun 3 tahun telah berlalu. ‘Nothing has changed since 3 years ago.’
“Adakah rakyat Johor kini dianak-tirikan sehinggakan fasiliti penting untuk rakyat Johor telah menjadi tempat terbiar? Sehingga hari ini, mengapa insentif-insentif kerajaan persekutuan untuk kerajaan negeri dan rakyat Johor semakin berkurangan, sehinggakan selepas 3 tahun pun wad hospital tidak dibaiki?,”titah baginda.
Baginda turut berharap agar hal yang melibatkan kepentingan rakyat tidak diabaikan begitu saja kerana itulah yang perlu diutamakan oleh pihak yang memerintah.
Menurut baginda, dalam keadaan ekonomi negara sekarang yang sukar, kebajikan rakyat dan terutamanya kemudahan asas seperti kemudahan perubatan haruslah diberikan keutamaan.
“Johor menyumbang 9.6 peratus terhadap ekonomi negara pada tahun 2018, iaitu sebanyak RM138.9 billion. Maka rakyat Johor berhak untuk mendapatkan kemudahan yang terbaik bagi kesenangan hidup mereka,”titah baginda lagi.
JohorKini