BM | EN | 中文

TINGKATKAN AGENDA PERKASA GOLONGAN IBU DI TEMPAT KERJA, SARAN KHUZZAN

mohd-khuzzan-abu-bakar-.jpg
Advertisement

BATU PAHAT, 14 SEPT: Aktiviti penyusuan susu ibu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perkembangan karier golongan wanita, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Menurut Khuzzan, semua pihak perlu memainkan peranan dalam mencipta rangkaian sokongan yang terbaik dalam membudayakan amalan penyusuan susu ibu di negeri Johor.

Justeru, beliau menyarankan supaya setiap majikan – tidak kira dari sektor swasta mahupun kerajaan – untuk menyediakan budaya kerja yang kondusif bagi ibu yang menyusu.

Advertisement

Ini, menurutnya lagi, termasuk penyediaan ruang penyusuan yang kondusif, menyediakan pusat jagaan bayi dan kanak-kanak, kemudahan untuk ibu memerah dan menyimpan susu ibu, serta melaksanakan waktu kerja fleksibel.

“Pada tahun ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin meluaskan usaha mempromosikan susu ibu ini dengan melibatkan pihak swasta dari aspek perniagaan dan perusahaan di Malaysia.

“Ianya sangat relevan memandangkan penyusuan susu ibu seharusnya tidak dilihat sebagai penghalang untuk ibu-ibu bekerjaya dan dalam masa yang sama berjaya meneruskan penyusuan bayi mereka.

Advertisement

“Walaupun telah terdapat beberapa jabatan dan agensi kerajaan juga pasar raya besar yang menyediakan bilik atau sudut atau ruang penyusuan untuk ibu menyusukan bayi mereka, saya merasakan bahawa ianya perlu dikembangkan lagi seiring dengan peningkatan bilangan ibu yang menyusu bayi dengan susu ibu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam majlis sambutan ‘Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia’ peringkat negeri Johor yang berlangsung di BP Mall, Batu Pahat, hari ini.

Menurut Khuzzan, statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (NHMS lll) pada tahun 2016 menunjukkan peningkatan tiga kali ganda prevalens (kelaziman) penyusuan susu ibu secara eksklusif pada umur enam bulan iaitu daripada 14.5% pada tahun 2006 kepada 50.6% pada tahun 2016.

Advertisement

“Manakala data pemantauan yang diambil dari iklinik kesihatan kerajaan di negeri Johor menunjukkan ibu-ibu yang menyusu secara eksklusif meningkat kepada 64.3% pada tahun 2018 berbanding hanya 34.2% pada tahun 2011.

“Adalah diharapkan agar prevalens ini akan terus meningkat kepada 70% pada tahun 2025 seperti mana sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2016-2025,” katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Semerah, turut menambah yang usaha ke arah memperkasa kaum wanita ini perlu dikembangkan lagi seiring dengan peningkatan bilangan ibu yang menyusu bayi dengan susu ibu.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top