BM | EN | 中文

Tindakan tegas terbang dron di kawasan larangan – Ketua Polis Johor

dron-drone.jpg

Gambar Ehsan dronereview.uk

Advertisement

JOHOR BAHRU, 25 FEB: Tindakan tegas terhadap penggunaan dron khususnya di kawasan larangan termasuk perairan negara perlu dikuatkuasakan selain penguatkuasaan undang-undang mengenai perkara itu perlu diperketatkan lagi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu bagi membendung aktiviti sindiket penyeludupan migran yang kini dikesan menggunakan dron untuk memantau pergerakan pihak berkuasa khususnya di pesisir perairan negara.

“Polis mempunyai kaedah tertentu untuk membanteras aktiviti penggunaan dron yang mencurigakan termasuk memintas sistem dan menembak jatuh dron berkenaan.

Advertisement

“Memang ada sindiket penyeludupan manusia yang menggunakan dron untuk memantau pergerakan pihak penguat kuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis. Sudah sampai masanya tindakan tegas diambil kalau terbangkan dron di kawasan larangan terutama kawasan operasi,” katanya, lapor Utusan Online.

Ayob Khan berkata demikian selepas bersama-sama timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin ketika menghadiri Majlis Penyerahan 34 buah kenderaan Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kelmarin, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan mendedahkan sindiket penyeludupan kini dikesan menggunakan teknologi terkini dan canggih seperti dron ketika menjalankan aktiviti penyeludupan migran serta barangan untuk dibawa masuk ke negara ini.

Advertisement

Muhammad Hafizuddeain mendedahkan sekurang-kurangnya 20 dron bukan milik ATM dikesan di kawasan perairan negara antara Januari hingga kini yang memantau pergerakan anggota keselamatan dalam menjalankan aktiviti penyeludupan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, Toyota Hilux serba baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan itu berjumlah RM5.3 juta bagi menggantikan Land Rover yang digunakan sebelum ini.

Menurutnya, kenderaan berkenaan adalah untuk kegunaan Guna sama Operasi yang dijalankan pihaknya di seluruh negeri termasuk pengagihan dua atau tiga buah di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Advertisement

“Kenderaan ini telah diubahsuai dengan kelengkapan peralatan dan aksesori tambahan termasuk dashcam, alat pemadam api dan peti pertolongan cemas,” katanya.

Ayob Khan berkata, Land Rover yang digunakan sebelum ini akan dilupuskan secara berperingkat mengikut keadaan kenderaan tersebut dengan 40 buah daripadanya masih digunakan Polis Johor untuk operasi di negeri ini.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top