BM | EN | 中文

Tindakan penguatkuasaan faktor penurunan kes denggi di Johor

aktiviti-semburan-jabatan-kesihatan-denggi.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 OKT: Tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap mereka yang mengambil ringan aspek kebersihan dilihat menyumbang kepada penurunan kes sejak Kempen Johor Perangi Denggi 2020 dilancarkan pada 23 Ogos lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Aman Rabu berkata inisiatif itu disifatkan berjaya apabila kes mingguan yang dilapor menunjukkan trend penurunan iaitu 261 kes pada minggu Epid ke-39 berbanding 279 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) merupakan antara aktiviti utama yang dijalankan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 agar masyarakat lebih berwaspada dan bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan kawasan sekeliling mereka bebas daripada potensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Advertisement

“OPPI merupakan operasi bersepadu melibatkan agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dan sehingga kini, sebanyak 49 OPPI telah dijalankan di seluruh negeri.

“Justeru, sekiranya terdapat pembiakan jentik-jentik di premis atau pun kediaman maka kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya, lapor Bernama.

Dr Aman dalam kenyataan semalam berkata JKNJ telah mengadakan aktiviti OPPI di lokasi wabak denggi Taman Perling agar pemeriksaan dapat dijalankan berikutan kurang mendapat kerjasama penduduk meskipun sebanyak 219 kes dilaporkan di kawasan itu sehingga 26 Sept lepas.

Advertisement

“Dalam operasi yang dijalankan hari ini, seramai 177 anggota kesihatan dari seluruh negeri telah digerakkan dengan 1,507 premis diperiksa dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 premis (1.3 peratus) didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

“Di persekitaran awam pula, sebanyak 25 tempat pembiakan ditemui antaranya bekas plastik dan pasu bunga yang terbiar di samping sejumlah 1,461 bekas yang berpotensi untuk pembiakan aedes turut dijumpai,” katanya.

Beliau berkata dalam mencegah penularan denggi, masyarakat perlu bersikap proaktif bagi memusnahkan tempat takungan di kediaman mereka yang boleh menjadi punca pembiakan Aedes, termasuk menjaga kebersihan persekitaran dan melakukan pembuangan sampah secara berkala.

Advertisement

“Sekiranya terdapat anggota keluarga yang demam, dapatkan rawatan segera di klinik selain beri kerjasama terhadap petugas kesihatan yang melakukan pemeriksaan di kediaman atau pun semburan kabus, terutama di kawasan yang ada kes denggi,” katanya.

Sebanyak 9,396 kes dilaporkan di Johor dengan 35 kematian akibat denggi bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept lepas.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top