BM | EN | 中文

Tiga remaja lelaki lemas ketika mandi kolam

IMG-20200214-WA0003.jpg

JOHOR BAHRU, 14 FEB: Tiga remaja ditemui lemas ketika mandi di kolam berhampiran Pencawang TNB Taman Seri Amar, Majidee, di sini petang semalam.

Mangsa maut dikenali sebagai Muhammad Rozie Iskandar Shah Abdullah, 11; Faris Farhan Mohd Sani, 14, dan Mohd Haziq Nor Kamal, 10.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pada jam 7.23 petang petugas pejabat pertanyaan Balai Polis Majidee Johor bahru didatangi seorang budak lelaki umur 13 tahun memberi maklumat awal  berkenaan tiga budak lelaki telah lemas di kolam berkenaan.

“Hasil temubual pengadu memberitahu bahawa pada jam lebih kurang 2 petang dia bersama tiga mangsa telah memancing ikan dan mandi di kolam itu.

“Pengadu memberitahu pada jam 7 petang ketiga-tiga mangsa secara tiba-tiba lemas dan telah tenggelam ketika mandi di bahagian tengah kolam.

“Pengadu ada cuba menolong rakannya dengan membaling tali ke arah mereka tetapi tidak sampai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, susulan itu bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau tiba dengan kekuatan seorang pegawai dan 12 anggota bersama tiga buah jentera.

Pada jam 7.47 petang mayat Muhammad Rozie dijumpai disusuli mayat Faris Farhan pada jam 7.49 petang dan mangsa terakhir Mohd Haziq ditemui pada jam 8.16 malam.

Menurut Shahurinain lagi, jarak kesemua mangsa ditemui dari tepi kolam adalah lebih kurang 5 meter.

“Siasatan awal oleh pihak polis  juga tidak menemui sebarang unsur jenayah di tempat kejadian,” katanya lanjut.

Mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top