JOHOR BAHRU, 10 OKT: Tiga makanan tradisional, iaitu Barongko, Harissa dan Gandus akan diwartakan sebagai sajian warisan Johor bagi mempromosikan lagi keunikan tradisi makanan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata Jabatan Warisan Negara akan membawa tiga sajian itu pada salah satu acara di Festival Hujung Medini (FHM) 2019 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Tiga lagi sajian lain iaitu, burasak, kacang pool dan wajik sirat juga akan dibawa oleh jabatan berkenaan sebagai makanan yang telah pun diwartakan sebelum ini,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.
Mohd Khuzzan yang merupakan Adun Semerah berkata, acara tersebut merupakan salah satu aktiviti yang akan diadakan pada program sajian warisan Johor di festival tersebut.
“Program sajian ini dirangka bagi tujuan perhebatkan keunikan dalam rahsia masakan tradisional tempatan yang diwarisi secara turun temurun.
“Ia akan diselenggara dengan kerjasama daripada semua Pejabat Daerah negeri Johor bagi mengetengahkan masakan tradisi tempatan,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, festival tersebut akan menjadi satu platform yang sesuai untuk mempromosikan lagi makanan tradisional Johor kepada semua lapisan masyarakat.
“Kita tengok sekarang ini ramai yang gemar dengan makanan hidangan segera.
“Maka FHM 2019 ini adalah waktu yang sesuai untuk kita pertengahkan lagi keunikan dan kelazatan sajian tradisional yang sepatutnya ditonjolkan setiap masa,” katanya.
FHM 2019 akan berlangsung bermula 12 hingga 17 Oktober ini bertempat di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Jalan Sungai Chat, di sini.
Pelbagai aktiviti berkaitan kesenian dan kebudayaan negeri Johor akan diadakan dengan bertujuan untuk menarik minat masyarakat terutamanya golongan belia untuk mendalami seni budaya yang terdapat di Johor.
JohorKini