BATU PAHAT, 28 MEI: Tiga lelaki ditahan polis kerana didapati memiliki pokok ganja hidup setinggi 61 sentimeter yang ditanam di kebun kelapa sawit berhampiran kediaman mereka di Semerah.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata ketiga-tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan pada 1 tengah hari pada 26 Mei.
Bernama melaporkan Azhan sebagai berkata, pokok ganja terbabit ditemui selepas pemeriksaan dibuat kediaman suspek ekoran satu laporan mengenai kehilangan sebuah motosikal.
“Polis melakukan pemeriksaan berdasarkan laporan kehilangan sebuah motosikal di sekitar Parit Jawa.
“Dalam pemeriksaan itu, polis turut merampas beberapa paket lut sinar dipercayai berisi dadah jenis syabu serta helaian kering tumbuhan dipercayai ganja sebelum menemui pokok berkenaan.
“Suspek memberikan alasan bahawa mereka hanya mencuba menanam pokok berkenaan dan tidak menyangka tumbuhan itu boleh hidup,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.
Azhan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada pokok ganja itu adalah untuk kegunaan peribadi atau sebaliknya.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif penggunaan dadah, bagaimanapun tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek dikemukakan hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang enam kali sebatan.
Johorkini