BM | EN | 中文

Tiga jenis ubat diguna rawat pesakit Covid 19 – Pengarah KKM

kementerian-kesihatan-malaysia.jpg

KUALA LUIMPUR, 29 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan ubat Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan untuk merawat penyakit lain, digunakan dalam rawatan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semakan dengan pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM mendapati bahawa ubat ‘Chloroquine’, ‘Hydroxychloroquine’ dan kombinasi ‘Lopinavir/ Ritonavir’ adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Bekalan ubat tersebut telah sedia ada di Malaysia untuk kegunaan rawatan penyakit lain dan boleh digunakan untuk rawatan COVID-19.

“Bekalan ubat-ubatan yang memerlukan pengimportan seperti Favipiravir dan Remdesivir akan sentiasa dimudah cara oleh KKM bagi kegunaan rawatan COVID-19.

“Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia telah dipilih oleh World Health Organization (WHO) untuk terlibat dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial – COVID-19’ yang mana ubat kajian tersebut akan digunakan.

“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin.

“Bagi ubat Favipiravir, KKM sedang mendapatkan ubat tersebut daripada pembekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu tambah beliau, ketika situasi pandemik COVID-19 seperti sekarang, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, KKM masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar.

Katanya ia menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan (KPK).

“KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top