JOHOR BAHRU, 30 MEI: Tiga gajah liar yang berkeliaran sejak Isnin lepas di kawasan berhampiran Hentian Sebelah Simpang Renggam Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kluang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.
Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata tangkapan pertama dilakukan pada 1.30 tengah hari diikuti tangkapan kedua dan ketiga pada 2.15 petang dan 2.50 petang dengan kesemuanya membabitkan gajah jantan bersaiz tapak kaki dari 13 hingga 15 inci.
Ops Tangkapan Gajah yang bermula pada Rabu lepas itu melibatkan lapan anggota Unit Tangkapan Gajah Negeri Johor dan ia dilakukan susulan aduan awam berkaitan sekumpulan gajah yang berada dalam kawasan kebun berhampiran hentian tersebut.
‘Ketiga-tiga gajah itu merupakan sebahagian gajah dari ID Tenggara yang tersesat sejak minggu lepas. Perhilitan akan memantau tiga gajah itu sehingga dipindahkan ke habitat baharu,’ menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata gajah terbabit merupakan sebahagian daripada kumpulan haiwan itu yang sering menimbulkan konflik di sekitar Kampung Sri Timur, Felda Kahang Barat/Timur, Taman Sri Implant Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kluang, Ladang Sungai Kahang, Ladang Ulu Remis, Ladang Renggam, Felda Layang-Layang, Kampung Bukit Nyamuk serta Kampung Bukit Kenangan.
Bernama