BM | EN | 中文

Tiga anggota trafik Johor ditahan disyaki terlibat pemerasan

Ketua-Polis-Johor-Datuk-Ayob-Khan.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 JUL: Tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan selepas disyaki terlibat pemerasan ke atas seorang pemandu lori perdagangan ketika melakukan sekatan jalan raya, awal bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ketiga-tiga koperal berumur antara 32 dan 39 tahun itu ditahan pada 4 Jun selepas polis menerima laporan yang dibuat pemandu lori tersebut.

“Ketiga-tiga mereka kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Advertisement

Ayob Khan berkata ketiga-tiga anggota lelaki terbabit didakwa melakukan pemerasan ketika memeriksa lori perdagangan itu yang membawa muatan berlebihan dan kemudian meminta wang sebanyak RM4,000 daripada pemandu.

Beliau berkata polis Johor tidak akan bertolak ansur terhadap pegawai atau anggota polis yang terlibat atau bersekongkol dalam aktiviti jenayah atau rasuah, dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang atau diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

“Kebiasaannya mungkin kita (polis) hanya menyerahkan (kes sebegini) kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk siasatan tetapi saya minta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor untuk membuka kertas siasatan atas kesalahan pemerasan. Saya mahu mereka dituduh di mahkamah kalau mempunyai cukup bukti, tiada lagi siasatan dalaman,” katanya.

Advertisement

Sementara itu, Ayob Khan berkata pihaknya menahan 60 individu berumur antara 15 dan 26 tahun menerusi Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di negeri tersebut dalam tempoh 1 hingga 30 Jun lepas.

Beliau berkata Johor Bahru dan Batu Pahat dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ di negeri ini.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top