BM | EN | 中文

Tiada solat Jumaat esok, bantu negara putuskan rantaian Covid-19

dr-zulkifli-mohamad-al-bakri.jpg

Gambar Ehsan CNA

PUTRAJAYA, 19 MAC: Semua masjid di seluruh negara akan menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia selaras Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing, bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di stesen-stesen televisyen hari ini.

Jelasnya arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

“Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah.

“Sekali lagi pesan saya, solatlah Zohor di rumah, InsyaAllah ada hikmahnya,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu pada 17 Mac, kerajaan Johor mengeluarkan arahan menghentikan semua aktiviti di premis masjid, surau dan musolla termasuk solat fardu secara berjemaah dan solat Jumaat selama sepuluh (10) hari sehingga Khamis, 1 Syaaban 1441H (26 Mac 2020).

Malahan, semua masjid, surau dan musolla di dalam negeri Johor perlu melaksanakan operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah-langkah kawalan bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19.

Dalam pada itu laungan azan dan pelaksanaan solat fardu lima waktu di masjid, surau dan musolla secara berjemaah hendaklah dilaksanakan oleh tiga (3) orang pegawai masjid iaitu imam, bilal dan noja selepas melepasi saringan pemeriksaan kesihatan di Pejabat Daerah.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top