BM | EN | 中文

‘Tiada seorang pun anak saya ditawarkan kerja di Goldman Sachs’ – Najib

najib-BN.jpg

SHAH ALAM, 25 FEB: Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan berkenaan tawaran pekerjaan dari bank pelaburan, Goldman Sachs kepada anak-anaknya sebagai balasan kepada tawaran perniagaan yang lumayan.

Bekas Perdana Menteri itu turut menyangkal gambaran menunjukkan bahawa beliau seolah-olah menerima sogokan seperti dinyatakan oleh Bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner dalam keterangannya di Mahkamah New York Isnin lalu.

“Tiada seorang anak saya pernah ditawarkan untuk bekerja ataupun bekerja di Goldman Sachs.

“Walaupun tajuk berita media tempatan memberi bayangan bahawa saya disogok oleh Goldman Sachs yang tawarkan bagi anak-anak saya bekerja di bank tersebut.

“Apa yang diterangkan oleh saksi bekas eksekutif, Tim Leissner ialah cubaan mereka untuk menyogok saya, namun ini tidak berlaku dan tiada seorang pun anak saya pernah ditawarkan pekerjaan di Goldman Sachs dan tidak pernah bekerja di bank Amerika Syarikat itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Leissner yang merupakan saksi utama perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng menerusi keterangannya mendakwa wujud agenda dalam pertemuan antara bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Lloyd Blankfein dan Najib.

Beliau memberitahu juri bahawa Goldman Sachs perlu memastikan peluang pekerjaan bagi tiga anak bekas Perdana Menteri Malaysia itu di bank berkenaan sebagai balasan kepada tawaran perniagaan yang lumayan.

Mengulas lanjut, Najib bagaimanapun memaklumkan bahawa Leissner pernah memperkenalkan anaknya untuk memohon kerja di syarikat TPG Capital di Hong Kong dan ia tiada kaitan dengan Goldman Sachs.

“Dan anak saya memang pernah bekerja selama setahun sahaja dengan jawatan junior di situ,” ujarnya.

Terdahulu,, Sinar Harian melaporkan Najib turut membangkitkan pendedahan Leissner di Mahkamah mengenai kelulusan diberikan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap pemindahan dana dilakukan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam keterangannya seperti dilaporkan media, Leissner memberitahu mahkamah bahawa BNM meluluskan pemindahan pertukaran asing sebanyak AS$1 bilion semalaman (overnight) daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI) selepas suami kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Tawfiq Ayman didakwa disogok untuk membolehkan perkara itu berlaku (‘make it happen’).

Leissner menjadi menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan Ng yang juga bekas rakan kongsinya.

Perbicaraan bermula 14 Februari lalu di mahkamah persekutuan di Brooklyn, dengan pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Johorkini

Share this post

scroll to top