MUAR, 6 OKTOBER 2020 – “Tiada pertemuan dengan rakyat selepas balik dari Sabah 26 September sehingga 5 Oktober 2020 (semalam).”
Demikian kenyataan dikeluarkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) mewakili Adun Maharani, Nor Hayati Bachok berkenaan dengan keadaannya yang mengasingkan kendiri secara sukarela sepanjang pulang dari Sabah.
Katanya, Nor Hayati mengambil inisiatif sendiri serta tidak hadir ke mana-mana program di luar dan tidak bertemu dengan rakyat.
“Sejurus kembali dari Sabah pada 26 September 2020, beliau telah menjalani ujian saringan pertama dan didapati negatif.
“Walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin atau pengasingan, YB Nor Hayati sendiri telah mengambil insiatif kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri.
“Beliau telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober 2020 dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya pada 5 Oktober 2020,” ujar kenyataan tersebut.
Dalam pada itu terdapat mesej tular yang mendakwa pelbagai kegiatan yang dilakukan oleh Nor Hayati dalam tempoh tarikh tersebut telah dinafikan oleh pihak PKWR Dun Maharani.
Dalam kenyataan tersebut, pihak PKWR Dun Maharani menyatakan mereka sudah pun mengenal pasti individu yang mula menyebarkan mesej tersebut dan telah membuat laporan polis.
“Kami akan susuli dengan tindakan undang-undang. Pihak kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi beliau dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.
“Pihak kami menyeru masyarakat menghentikan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada beliau dan keluarga untuk melalui ujian ini dengan tenang.
“Pihak kami memohon maaf kepada semua yang terkesan walaupun segala langkah kuarantin di rumah dan pencegahan telah dipatuhi sepanjang tempoh tersebut.
“Sekali lagi kami menggesa agar warga Maharani tidak panik dengan mesej-mesej yang tular, sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak KKM,” ujar kenyataan itu lagi.
Pihak PKWR Dun Maharani turut mengajak seluruh warga Maharani mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Nor Hayati agar dapat terus berkhidmat dan berbakti kepada seluruh rakyat.
Johorkini