BM | EN | 中文

Tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat, Isnin ini

IMG-20200228-WA0059.jpg

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Dewan Rakyat tidak akan mengadakan persidangan khas Isnin ini, menurut Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata, surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat seperti diumumkan Perdana Menteri interim, Dr Mahathir Mohamad semalam tidak mengikut peraturan.

Katanya, ia didapati tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu lagi, Mohamad Ariff berkata, keperluan mengadakan mesyuarat khas akan dibuat selepas titah Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan perdana menteri.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020.

“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan parlimen akan bersidang pada 2 Mac selepas Yang di-Pertuan Agong mendapati tiada pihak yang mempunyai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.

Beliau terdahulu menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dr Mahathir mengumumkan akan akan membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti, manakala Pakatan Harapan mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang tidak lagi bersama gabungan itu mencalonkan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Muafakat Nasional mahu parlimen dibubarkan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top