ISKANDAR PUTERI, 30 OGOS: Tiada laporan polis diterima berhubung perbuatan khianat atau sabotaj dalam kejadian kebakaran hutan di Kampung Pekajang dekat Gelang Patah, kata Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan meneliti dari segala aspek berkaitan kes terbabit.
“Kita tidak menerima laporan kebakaran hutan di kawasan tersebut berpunca daripada perbuatan khianat tetapi pihak polis akan melihatnya dari segala aspek. Kita difahamkan kawasan yang terlibat adalah jenis tanah gambut dan mudah terbakar apabila cuaca panas dan kering.
“Namun, setakat ini, tiada laporan terdapat unsur sabotaj atau khianat dan kertas siasatan akan dibuka jika kita terima aduan,” katanya ketika ditanya sama ada terdapat unsur khianat dan sabotaj dalam kejadian kebakaran hutan di situ.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Kenegaraan Sembang Santai Ketua Polis Johor dan Komuniti Daerah Iskandar Puteri di Kampung Pendas Laut, di sini, semalam.
Beliau berkata tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 435 atau 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api namun percaya kebakaran berkenaan berlaku disebabkan keadaan panas dan kering pada ketika ini.
Setakat pagi ini, sebanyak 785 peratus daripada 16 hektar hutan yang terbakar di Jalan Tanjung Kupang, dekat Gelang Patah itu, telah berjaya dipadamkan.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 140 anggota dan 30 aset JBPM selain dibantu pelbagai agensi lain.
Operasi pemadaman dilakukan tanpa henti selama 24 jam semenjak 21 Ogos lepas dan pihak bomba juga meneruskan teknik “banjir sepenuhnya” dan semburan langsung serta ‘fire break’ iaitu mewujudkan parit berair bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain.
Bernama