BM | EN | 中文

Tiada kompromi kes buli dalam ATM – Ismail Sabri

ismail-sabri.jpg

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Kementerian Pertahanan tidak berkompromi dalam isu gejala buli jika ia benar-benar berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ATM mempunyai polis tentera dan mahkamah sendiri bagi melakukan siasatan dalaman apabila terdapat laporan berlakunya gejala terbabit dan jika dibuktikan benar maka tindakan akan diambil termasuk diberhentikan daripada ATM.

“ATM tidak akan berkompromi jika berlaku kes buli dalam ATM kerana tugas ATM ialah melindungi rakyat dan kedaulatan negara.

“Kita tidak mahu berlaku sebaliknya iaitu mereka (individu buli) melakukan buli lebih-lebihan apabila membuli sesama sendiri,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis santai petang bersama penggiat seni tanah air sempena kempen Tabung Pahlawan Tahun 2020 di sini, Selasa lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian Allahyarham Prebet Abdul Aziz Aznam yang disyaki terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Johor, pada 28 Ogos lepas, dikatakan ada kaitan dengan gejala buli dalam ATM.

Ismail Sabri berkata kes kematian berkenaan diserahkan kepada pihak polis bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang berlaku atau sebaliknya.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 11 saksi daripada pasukan ATM dipanggil baru-baru ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kes kematian Allahyarham Abdul Aziz.

Dua daripadanya merupakan pegawai tentera manakala sembilan lagi adalah anggota lain-lain pangkat.

Mengenai Kempen Tabung Pahlawan 2020, Ismail Sabri berkata Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) akan berusaha mempromosikan galakan sumbangan menerusi platform media elektronik dan media cetak sepenuhnya.

Ismail Sabri berkata selain itu, JHEV ATM juga mencuba pendekatan meminta penggiat seni tanah air mempromosikan Kempen Tabung Pahlawan di media sosial masing-masing kerana pengikut mereka yang ramai akan membolehkan impak besar diperoleh.

“Kempen Tabung Pahlawan kali ini berbeza sedikit kerana dilaksanakan ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Jika dulu kita boleh menganjurkan majlis makan malam, larian amal, konsert dan lain-lain acara dengan mudah dan tetamu yang ramai tetapi keadaan sekarang berbeza,” katanya.

Beliau berkata sumbangan bagi tabung itu yang ditetapkan sasaran kutipan tahun ini sebanyak RM10 juta, akan dapat dimanfaatkan 180,000 veteran ATM kerana ada antara mereka kini terlantar sakit dan tergolong sebagai asnaf.

Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top