BM | EN | 中文

Tiada kluster ibadah korban direkodkan di Johor

cover-covid-johor-01.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 23 OGOS: Tiada kluster membabitkan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini direkodkan di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata ia sekali gus membuktikan keberkesanan prosedur operasi dtandard (SOP) ditetapkan yang dilaksanakan di 164 pusat sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di seluruh Johor.

“SOP ibadah korban itu mengambil kira situasi wabak Covid-19 di negeri ini serta pandangan Jabatan Kesihatan Negeri, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan JPV Negeri dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Advertisement

“Walaupun dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19, ibadah korban tetap dapat dilaksanakan dengan sejumlah 6,037 ekor haiwan ibadan korban disembelih,” kata Tosrin (PN-Bukit Permai) ketika menjawab soalan Najib Lep (PN-Bukit Pasir) pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri.

Najib ingin mengetahui mengenai kesan penetapan SOP ketat berhubung pelaksanaan ibadah korban ketika Aidiladha.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa tiada lagi pusat pemberian vaksin (PPV) di Johor akan ditutup akibat kekurangan bekalan vaksin seperti yang telah berlaku sebelum ini.

Advertisement

Vidyananthan (PN-Kahang) berkata hal itu berikutan pengagihan vaksin ketika ini lebih besar jumlahnya dan lebih tersusun sekali gus pihaknya berharap situasi itu akan berkekalan.

“Semasa peringkat awal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), pengagihan vaksin di Johor rendah dan bilangan PPV dibuka fasa satu hanya 14 PPV dewan besar, namun sebaik sahaja permulaan fasa dua, dengan bilangan penduduk yang tinggi disasarkan, pembukaan PPV mega ditambah bagi menampung kapasiti pelanggan yang lebih ramai.

“Pengagihan vaksin secara mingguan dan tidak sekata, kadangkala menyebabkan PPV awam yang lebih rendah kapasiti ditutup bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PPV mega yang lebih licin dan berterusan,” katanya ketika menjawab soalan S Gopalakrishnan (PH-Tiram) berhubung pengoperasian PPV di negeri ini.

Advertisement

Beliau berkata setakat ini Johor menyaksikan sejumlah 241 PPV beroperasi di seluruh negeri melibatkan pelbagai PPV antaranya PPV awam, PPV swasta, PPV bergerak, PPV industri dan PPV mega.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top