BM | EN | 中文

Tiada kes jam tangan setiausaha politik Salahuddin Ayub – Sumber SPRM

suruhanjaya-pencegahan-rasuah-malaysia-SPRM.jpg

KUALA LUMPUR 14 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan ke atas Ahmad Sabky Yusof, bekas setiausaha politik bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub, selepas pendakwaraya memutuskan tiada kes pendakwaan terhadap beliau.

Ahmad Sabky pernah ditahan reman pada awal April 2019 untuk disiasat atas dakwaan menerima suapan berupa jam tangan berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM28,000.

“Siasatan ini ditutup kerana keputusan timbalan pendakwa raya memutuskan tiada pendakwaan,” menurut laman The Malaysian Insight, memetik sumber SPRM yang mengesahkan kenyataan Ahmad Sabky bahawa kesnya telah ditutup.

Kes ini pernah jadi perhatian kerana melibatkan pegawai menteri dalam pentadbiran Pakatan Harapan, menjelang genap setahun gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Ahmad Sabky berkata beliau telah mengambil barangan peribadinya yang ditahan semasa siasatan agensi itu pada tahun lalu.

“Pagi tadi saya telah dipanggil oleh pegawai penyiasat dan memaklumkan siasatan telah lengkap dan tiada tindakan lanjut dan semua barang-barang dan dokumen saya dan saksi-saksi yang lain dikembalikan semula,” katanya.

Antara yang dikembalikan ialah jam tangan yang dipertikaikan sumbernya itu.

Jelas Ahmad Sabky, jam tangan itu adalah hadiah daripada rakan yang juga kliennya semasa menjadi peguam.

Katanya, beliau mengenali mereka sebelum memegang jawatan dalam kerajaan, selain pernah menjadi ahli lembaga pengarah anak syarikat milik kliennya itu.

Menurut Ahmad Sabky, beliau menerima pemberian itu selepas rakannya mendesak.

Hadiah jam tangan itu bagaimanapun diisytiharkan kepada pihak yang berkenaan di Kementerian Pertanian dan Asas Tani, sebagai mematuhi prinsip integriti dan urus tadbir baik, katanya.

“Saya diberikan borang dan mengisi borang yang berkaitan.

“Malangnya, selepas lapan bulan pengisytiharan dibuat, borang pengisytiharan itu dijadikan asas untuk membuat tohmahan rasuah ke atas saya.

“Seharusnya, pihak berkenaan memberi keputusan mereka sekiranya hadiah itu perlu dipulangkan kepada pemberi atau dilupuskan, sepertimana amalan prosedur ‘no-gift policy’,” katanya.

Menurut Ahmad Sabky, beliau sudah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM selama ini dalam siasatan mereka dan mengelak membuat kenyataan terbuka demi menghormati siasatan.

“Alhamdulillah. Moga Allah terus melindungi kita semua daripada ujian fitnah,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top