BM | EN | 中文

Tiada keperluan tambah PKRC di Johor Bahru

ABDUL-Rahman-Salleh-tengah-menerima-sumbangan-daripada-Lotte-Chemical-Titan-yang-disampaikan-oleh-Ahmad-Solihin-Mohamed-Yusoff-kanan-di-PKRC-Olive-B-Hospital-Permai-di-Johor-Bahru-Johor.jpeg

Gambar Ehsan Utusan Online

Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 JUL: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru memutuskan bahawa tidak ada keperluan untuk membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) awam di daerah ini buat masa sekarang biarpun angka kes positif Covid-19 terus melonjak di negeri ini.

Bagaimanapun Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kadar penggunaan katil (BOR) di PKRC Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan PKRC Olive B, Hospital Permai masing-masing melebihi kadar 90 peratus.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Johor Bahru berkata, jumlah pesakit terkini yang ditempatkan di PKRC Olive B semalam adalah seramai 533 orang iaitu 503 pesait positif dan 30 lagi dalam pemerhatian dengan kadar BOR adalah di paras 91.1 peratus.

Advertisement

Jelasnya, jumlah BOR di PKRC Olive B ini pernah mencapai tahap yang paling tinggi iaitu 94.1 peratus dengan jumlah katil yang dihuni adalah sebanyak 551 katil daripada jumlah keseluruhan 585 katil pada Khamis lalu.

“Peningkatan kes positif dalam kalangan rakyat di negeri ini mencetuskan kebimbangan dan meletakkan kita berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi segala kemungkinan seperti jumlah pesakit yang positif di kedua-dua PKRC awam ini.

“Sekiranya kadar penggunaan katil di PKRC melebihi 95 peratus, kita perlu memaksimumkan penggunaan PKRC bagi tujuan menambah bilangan katil di tempat sedia ada atau terpaksa membuka PKRC. Namun, kita berdoalah perkara itu tidak akan berlaku,” katanya, lapor Utusan Online.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan syarikat Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd. berjumlah RM50,000. Penyerahan replika cek itu disampaikan oleh Naib Presiden Lotte Chemical Titan, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff di Hospital Permai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Olive B, Dr. Mohamad Faiz Maarof berkata, jika keadaan memaksa, pihaknya akan menjadikan bilik rehat di setiap tingkat bangunan lima tingkat itu dijadikan bilik pesakit yang mampu menempatkan sebanyak 75 katil secara keseluruhan.

“Sebenarnya, kita sudah menggunakan segenap ruang yang ada di Olive B ini bagi menempatkan 585 katil pesakit. Sekiranya perlu untuk menambah katil, maka kita terpaksa korban bilik rehat di setiap aras selain mempertimbangkan untuk membuka khemah tambahan,” ujarnya.

Advertisement

PKRC Olive B ini dibuka khas bagi pesakit tahap 1 dan tahap 2 membabitkan golongan wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang bergejala ringan atau tidak bergejala.

Sementara itu, sumbangan wang tunai berjumlah RM50,000 daripada Lotte Chemical Titan adalah untuk kegunaan pesakit dan petugas daripada pelbagai agensi di PKRC itu yang menjadikan sumbangan keseluruhan dianggarkan bernilai RM250,000 sejak ia dibuka pada bulan lalu.

Katanya, sumbangan yang diperolehi itu dalam bentuk wang tunai, barangan makanan, air mineral, kit kesihatan, lampin bayi, susu bayi, barangan keperluan wanita, peralatan elektronik dan sebagainya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top