BM | EN | 中文

Tiada keperluan isytihar darurat – YDP Agong

Tiada-keperluan-isytihar-darurat-YDP-Agong.jpg
Advertisement

Kenyataan media Istana Negara

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu (23 Oktober, 2020).

Permohonan itu ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

Advertisement

Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini dari terus merebak.

Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Advertisement

Kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Advertisement

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini.

Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top