ISKANDAR PUTERI, 11 MAC: Kerajaan negeri tidak mempunyai hasrat untuk menangguhkan penganjuran temasya dwitahunan Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020 pada ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pihaknya bagaimanapun akan terus memantau situasi jangkitan Covid-19 (koronavirus) dari semasa ke semasa.
“Buat masa ini, pihak penganjur tidak memiliki perancangan untuk menangguhkan Sukma, jadi ia kekal dengan jadual yang telah ditetapkan.
“Kita akan kaji dari semasa ke semasa dan berharap ia dapat terus diadakan kerana semua persiapan sudah berada di peringkat akhir,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada kemungkinan penganjuran Sukma Johor XX 2020 ditangguhkan ekoran situasi jangkitan koronavirus ketika ini.
Sementara itu, Hasni turut memaklumkan agensi kerajaan negeri kini dibenarkan untuk mengadakan program di hotel bagi membantu sektor perhotelan yang terjejas ketika ini.
“Kita menyedari sektor perhotelan khususnya di kawasan bandar terjejas, maka kita buat keputusan agar program kerajaan boleh diadakan di hotel untuk merancakkan lagi ekonomi dan perniagaan mereka,” ujarnya.
Johorkini