BM | EN | 中文

Tiada ‘double standard’ dalam soal kuarantin – Muhyiddin

TSMY-6-Okt.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak ada ‘double standard’ dalam mematuhi arahan kuarantin dan semua pihak termasuk beliau dan menteri tidak terkecuali daripada mematuhi prosedur operasi standad (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam soal itu.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara telah dua kali menjalani kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan KKM, termasuk selepas mengetahui salah seorang menteri Kabinet yang menghadiri mesyuarat dipengerusikannya positif COVID-19.

“Sebagai perdana menteri saya tidak terkecuali tertakluk pada SOP. Ini kali kedua saya jalani kuarantin di rumah sejak pandemik ini melanda.

Advertisement

“Saya mesti patuh pada peraturan yang ditetapkan. Bersama-sama saya jalani kuarantin di rumah ketika ini ialah tujuh menteri dan enam timbalan, semua tidak terkecuali. Mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 dari kediamannya, yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan dan laman sosial Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata wabak COVID-19 tidak mengenal pangkat atau darjat dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja, maka SOP yang ditetapkan pihak berkuasa mesti dipatuhi oleh semua orang.

Advertisement

Muhyiddin berkata walaupun terpaksa menjalani perintah kuarantin di rumah, ia tidak menghalang beliau melakukan tugasan rasmi harian secara norma baharu termasuk mengadakan sidang video bersama menteri-menteri dan pegawai kanan kerajaan untuk mengurus COVID-19.

“Sebagai ketua kerajaan, saya memantau secara dekat perkembangan kes-kes COVID-19. Saya akan membuat keputusan-keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular dalam masyarakat kita.

“Ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau TEMCO di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah,” katanya.

Advertisement

Pada masa sama, Muhyiddin berkata segala keputusan yang diambil khususnya menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 adalah berasaskan kepada data dan fakta yang dikumpul menerusi sumber-sumber sahih.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak mudah panik dan membuat kesimpulan sendiri berhubung situasi yang sedang dihadapi negara ketika ini termasuk dengan mempercayai penyebaran berita palsu.

“Saya tahu ramai di luar sana yang ingin memberikan pandangan kepada kerajaan mengenai pengurusan COVID-19 kerana anda semua prihatin. Ada yang menghantar mesej secara peribadi kepada saya. Ada juga yang membuat komen di media sosial.

Advertisement

“Saya amat mengalu-alukan pandangan saudara dan saudari sekalian. Semuanya saya berikan perhatian. Mana-mana pandangan yang baik kita bincangkan di peringkat Sidang Khas MKN,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top