PONTIAN, 26 OKT: Penduduk di Tanjung Piai disini terharu apabila menerima set dekoder secara percuma untuk menikmati perkhidmatan TV Digital.
Seorang penduduk, Satia Ibrahim, 70, ketika ditemui mengucapkan terima kasih kerana dipilih menjadi salah seorang penerima sumbangan tersebut.
“Alhamdulillah akhirnya saya dapat dekoder ini dan saya tidak sabar untuk menikmati rancangan-rancangan kegemaran saya seperti ceramah-ceramah agama dan juga drama bersiri.
“Saya tinggal berdua bersama anak lelaki saya. Saya pasti dia juga akan gembira apabila saya pulang membawa berita gembira ini,” katanya kepada Johorkini.
Sementara itu, Mohd Johari Saju, 58 (gambar, kanan) dari Kampung Haji Ashari ketika ditemui berkata, beliau sangat teruja kerana keluarganya memang berminat menonton rancangan di televisyen pada waktu lapang.
“Saya tidak sabar untuk memasang dekoder ini, kerana selain daripada rancangan drama, saya juga suka mendengar lagu-lagu di siaran radio klasik,” katanya kepada Johorkini.
Bapa kepada lapan orang anak itu merupakan salah seorang penerima dekoder percuma di program Sepakat @ Komuniti, Jabatan Penerangan Negeri Johor di Mukim Ayer Masin, di sini, semalam.
Perhidmatan TV Digital adalah antara usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital merangkumi penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Ia membolehkan rakyat untuk menikmati perkhidmatan TV Digital secara percuma, tanpa langganan bulanan dan saluran yang disediakan termasuklah radio, membeli belah atas talian, pendidikan dan lain-lain.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat.
Eddin berkata, pemberian set dekoder siaran TV digital secara percuma tersebut bakal melibatkan dua juta isi rumah berpendapatan paling rendah atau penerima B40 yang berkelayakan.
Johorkini