TERMINAL KUKUP DIBUKA SEMULA, BAWA MANFAAT
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyambut pengunjung dari Tanjung Balai setelah pengoperasian semula TFAK

TERMINAL KUKUP DIBUKA SEMULA, BAWA MANFAAT

 

PONTIAN, 8 NOV : Pengoperasian semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) semalam merupakan berita baik bagi penduduk Tanjung Piai, di sini setelah ianya ditutup sementara sejak 1 September lepas.

Ang Hann Zhi

Salah seorang penduduk, Ang Hann Zhi, 30 berkata, pembukaan semula terminal ini bakal meningkatkan semula ekonomi masyarakat setempat.

“Semasa penutupan sementara terminal feri, perniagaan di sini kurang mendapat sambutan.

“Ramai peniaga Kukup mengalami kerugian kerana bergantung pada pengunjung yang datang pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

“Selain dari pendapatan perniaga di kawasan terminal, pendapatan pemandu teksi juga terjejas kerana kurangnya penumpang,” katanya kepada JohorKini.

Bagi peniaga barangan runcit di situ, Jimmy Lim, 39, penutupan sementara terminal ini sememangnyà menjejaskan perniagaanya.

“Penutupan terminal ini menyebabkan kita sebagai peniaga susah meraih pelanggan

“Kalau dahulu, pelanggan ramai terdiri dari pengunjung dari Indonesia, pekerja terminal dan pemandu teksi tetapi sekarang barang niaga banyak terbiar dan tidak terjual.

“Jadi, bila terminal ini beroperasi semula peniaga sangat gembira, mahu meniaga balik pun senang,” katanya lagi.

Pengoperasian semula terminal ini bukan sahaja membawa berita baik buat penduduk Kukup dan para peniaga, malah turut mendapat maklum balas positif dari pengunjung dari Indonesia.

Tokoh masyarakat dari Karimun, Roslan M Nor, 52 berkata ,pengunjung dari Tanjung Balai Karimun sangat berbangga kerana terminal feri penghubung dua negara ini beroperasi semula.

Roslan

“Pengoperasian semula terminal ini cukup membantu kami dari Karimun kerana kedudukan terminal ini sangat strategik, dekat dengan Kuala Lumpur dan Melaka”

“Penutupan terminal ini menyulitkan kami dari Karimun mengunjungi sanak saudara di sini, sudah tentu pembukaan semula buat kami sangat gembira,” katanya.

Terdahulu, penutupan sementara TFAK berlaku akibat beberapa isu teknikal yang kini dalam proses penyelesaian.

Berikutan masalah ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor pada 28 Ogos lepas telah bersetuju TFAK dikendali oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )