PASIR GUDANG, 27 DIS: Penerima sumbangan membeli kelengkapan persekolahan mengucapkan syukur dan terima kasih atas keprihatinan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Salah seorang penerima sumbangan, Zaiton Othman, 60, memberitahu, sumbangan yang disampaikan Pejabat Parlimen Pasir Gudang itu sangat membantu keluarganya.
“Saya menjaga dua anak angkat berusia 10 dan 11 tahun dimana ayah mereka baharu sahaja meninggal dunia akibat kemalangan beberapa minggu lalu.
“Saya menghubungi Pejabat Parlimen Pasir Gudang dan bertanyakan bantuan persekolahan, mujur kanak-kanak ini layak menerimanya.
“Alhamdulillah saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan ini, ia sangat membantu kerana pendapatan kami sekeluarga tidak sebesar mana,” katanya yang bergantung kepada gaji suaminya sebanyak RM1,800 sebulan.
Dalam program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Pejabat Parlimen Pasir Gudang yang disempurnakan oleh wakil rakyatnya, Hassan Abdul Karim, seramai 30 murid sekolah menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang untuk membeli kelengkapan persekolahan.
Seorang lagi penerima, Mas Hassan Zulkifli, 37, berkata, dia amat berterima kasih dengan sumbangan tersebut kerana dia bekerja sendiri dan tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap.
“Saya terpaksa berhenti kerja setahun yang lalu untuk menguruskan dua orang anak yang merupakan individu orang kurang upaya (OKU).
“Bantuan ini walaupun kecil namun sangat membantu meringankan beban dalam memastikan anak-anak saya dapat memulakan persekolahan dengan lebih bersemangat,” katanya yang kini bekerja sebagai pemandu Grab secara sepenuh masa.
JohorKini