KUALA LUMPUR, 10 NOV: Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok menyeru Kementerian Kewangan mengkaji semula peruntukan bagi program menangani kempen anti minyak sawit.
Menurut mantan Menteri Industri Utama itu, peruntukan kepada program itu menurun daripada RM27 juta pada tahun 2020 kepada RM20 juta dalam Belanjawan 2021.
Teresa dalam kenyataannya berkata, meskipun bersetuju dengan penambahan peruntukan kepada kementerian itu, namun menegaskan jumlah bagi program menangani kempen anti minyak sawit wajar dinaikkan sekurang-kurang dua kali ganda.
“Pengurangan peruntukan bagi program menangani kempen anti minyak sawit antarabangsa ini menunjukkan kerajaan langsung tidak sedar tentang cabaran sengit yang dihadapi oleh industri minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa, dan juga kurang faham tentang kepentingan industri minyak sawit kepada ekonomi Malaysia.
“Saya ingin ingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), minyak sawit adalah eksport yang sangat penting bagi Malaysia.
“Pada tahun 2019, eksport minyak sawit merupakan eksport yang ketiga besar bagi negara kita, ia menjana pendapatan sebanyak RM64.8 bilion kepada negara dan ia memberi sumbangan sebanyak 3.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita,” kata Teresa.
Beliau berkata, semasa memegang jawatan Menteri Industri Utama, pegawai MPOB, MPOCC, MPOC, kementerian menggunakan banyak masa untuk merangka pelbagai strategi untuk menangani kempen anti minyak sawit antarabangsa.
Ia katanya demi melindungi industri sawit demi memastikan produk sawit Malaysia diterima baik oleh pasaran antarabangsa.
“Memandangkan industri minyak sawit melibatkan lebih setengah juta pekebun kecil dan merupakan eksport yang penting, saya menyeru Kementerian Kewangan mengkaji semula peruntukan yang kurang bagi program menangani kempen anti minyak sawit tersebut,” ujarnya.
Johorkini