KUALA LUMPUR: Pasangan beregu profesional negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong bakal bertemu dengan pasangan Denmark, Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen di peringkat separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Taiwan 2019, hari ini.
Pasangan profesional negara tersebut menundukkan bekas pasangan nombor satu dunia Lee Yong Dae-Kim Gi Jung dari Korea Selatan 21-18, 21-19 dalam aksi suku akhir.
Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen pula terpaksa bergelut sebelum menang 21-16, 19-21, 21-17 ke atas pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Hasrat melihat dua pasangan negara ke peringkat separuh akhir bagaimanapun tidak kesampaian, apabila pasangan regu pilihan ketiga negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas kepada pasangan dari Korea Selatan Choi Solgyu-Seo Seung Jae 18-21, 14-21.
Turut tersingkir di peringkat suku akhir ialah pemain perseorangan lelaki Cheam June Wei yang tewas kepada wakil tuan rumah, Chou Tien Chen 11-21, 21-15, 17-21.
Sementara itu, cabaran negara dalam kejohanan badminton Terbuka Taiwan juga diteruskan oleh Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mara ke separuh akhir beregu campuran selepas menewaskan beregu Indonesia, Rinov Rinaldy-Pitha Mentari 18-21, 21-14, 21-14.
Mereka berdepan pasangan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet di peringkat separuh akhir.
Sumber: Bernama