BM | EN | 中文

Tender terus untuk bantu NAFAS, persatuan petani miskin

salahuddin-ayub.jpg

JOHOR BAHRU, 26 OGOS: Peruntukan RM1.4 billion kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara rundingan terus dibuat kerana organisasi itu tidak mampu bersaing dengan syarikat besar jika penganugerahan projek dilakukan secara tender terbuka.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementerian yang diterajuinya pada waktu itu memperjuang dan mesti membela NAFAS yang ahlinya seramai 920,000 orang.

“Apabila NAFAS diberikan semula nyawanya pada bulan Januari 2019, selepas digantung, adalah menjadi tanggungjawab saya pada ketika itu dan kementerian untuk memastikan NAFAS ini kembali kukuh.

“NAFAS mesti diberikan segala kemudahan oleh pihak kerajaan pada ketika itu.

“Bukan kita bantu individu, bukan kita bantu kompeni, bukan kita bantu mana-mana syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli parlimen Pulai itu berkata, amalan itu bukan sahaja baru wujud pada pemerintahan PH, namun penganugerahan secara terus ini telah lama diamalkan oleh BN.

Ini kerana isu penganugerahan tender secara terus kepada NAFAS telah dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

Sedangkan katanya, dana itu tidak masuk ke akaun lain berbanding yang berlaku dalam beberapa skandal di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ini telah menjadi satu tradisi sejak zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, supaya NAFAS diberikan pembelaan. Di situlah terletaknya perjuangan para petani kita yang masih miskin, yang perlukan kepada pembelaan.

“Ini tidak menjadi suatu halangan kepada semua pihak. NAFAS bukan satu persatuan yang biasa,” kata Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).

Salahuddin menjelaskan, NAFAS ditubuhkan di bawah akta peladang dan dikawal oleh kerajaan.

“NAFAS, apabila ia dapat projek kerajaan, ia ada keuntungan, berikan dividen kepada petani-petani kita, kebajikan dan seumpamanya.

“Sebagai Menteri pada ketika itu, setiap tahun, termasuklah Menteri-menteri sebelum saya, akan membuat rayuan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya diteruskan pembiayaan itu kepada NAFAS.

“Pada ketika itu peruntukan RM1.4 billion itu masih dalam Perbendaharaan bukannya dalam akaun peribadi atau akaun sesiapa,” ujarnya lanjut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top