BM | EN | 中文

Tempoh semakan pra-daftar pengundi automatik sehingga 31 Oktober singkat, tergesa-gesa – PKR Johor

pkr-bendera-KEADILAN.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 2 OKT: Dua kaedah semakan pra-pendaftaran pemilih automatik (SPPA) yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam tempoh masa daripada 1 hingga 31 Oktober ini adalah agak singkat dan tergesa-gesa.

Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Johor dalam kenyataan hari ini berkata, SPR juga dilihat tidak merancang strategi bagi menguar-uarkan secara intensif untuk memastikan seramai mungkin atau seluruh jumlah 5.8 juta bakal pemilih dapat melaksanakan semakan dalam tempoh diberikan.

“Perkara penting seperti ini sewajarnya disebarkan melalui segenap saluran komunikasi tradisional seperti radio dan televisyen bahkan menggunakan semua saluran komunikasi media sosial termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lainnya," menurut kenyataan PKR Johor.

Difahamkan, pelaksanaan urusan semakan pra-pendaftaran pemilih automatik (SPPA) oleh SPR terhadap 5.8 juta bakal pemilih yang secara automatik akan menjadi pengundi pada pilihan raya umum ke-15 yang dijangka berlaku pada 2022.

Dalam pada itu PKR Johor turut mengingatkan bakal pemilih supaya menyemak dengan teliti segala maklumat terperinci supaya hak mereka untuk mengundi nanti tidak dinafikan apabila tiba masanya.

PKR Johor juga mengingatkan SPR agar memelihara maklumat pengundi dengan tahap keselamatan yang tinggi supaya perkara seperti pembocoran dan penjualan data maklumat peribadi yang didakwa berlaku baru-baru ini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN ) dan Lembaga Hasil Dalan Negeri (LHDN) tidak berulang.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top