BM | EN | 中文

Tekong bot meninggal dunia akibat sesak nafas ketika bot terkandas di perairan Pontian

Tekong-bot-pancing-meninggal-dunia-akibat-sesak-nafas-ketika-bot-terkandas.jpg

Gambar Ehsan Bernama

Advertisement

JOHOR BAHRU, 13 JUN: Seorang tekong bot pancing meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas, manakala dua pemancing selamat selepas bot mereka terkandas di kawasan paya bakau berhampiran Kampung Serkat, dekat Pontian, awal hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, tekong itu, Jahuri Nawi, 65, bersama dua pemancing, Maffri Nasir, 43, dan Khairil Anuar, 50, keluar ke laut dari Jeti Pengkalan Nelayan Serkat kira 6.30 petang, semalam, untuk tujuan memancing.

Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada Maffri, cuaca bertukar ribut kira-kira pukul 2.30 pagi tadi sebelum Maffri dan Khairil mendapati Jahuri dalam keadaan semput dan kemudian mengalami serangan jantung.

Advertisement

Katanya keadaan bertambah buruk apabila bot ketiga-tiga mangsa terdampar di kawasan bakau dan pada kira-kira 4.20 pagi tadi, Jahuri tidak sedarkan diri, lalu Maffri kemudiannya bertindak menghubungi talian MERS 999, untuk mendapatkan bantuan.

“Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC-JB) telah menyalurkan maklumat yang diterima melalui panggilan MERS 999 kepada aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut di kawasan berhampiran, untuk ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Bot ronda Maritim Malaysia dan bot Pasukan Polis Marin (PPM) yang tiba di lokasi kejadian, bagaimanapun, tidak dapat merapat ke bot mangsa disebabkan kawasan bakau dengan air yang cetek dan tidak selamat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Advertisement

Aminuddin berkata, mayat Jahuri bersama dua pemancing berkenaan kemudian dibawa keluar oleh orang awam bersama anggota Pasukan Gerakan Am melalui jalan darat kira-kira 9.20 pagi tadi, dan seterusnya dibawa ke Hospital Pontian.

Menurutnya, bot Jahuri pula dibawa pulang oleh warisnya ketika air pasang.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top