BM | EN | 中文

Tekong bot maut terkena tembakan ketika cuba seludup keluar burung murai

Tekong-bot-maut-terkena-tembakan-ketika-cuba-seludup-keluar-burung-murai-Kota-Tinggi.jpg

Empat suspek terdiri daripada dua rakyat tempatan dan dua rakyat Indonesia berumur 40 hingga 62 tahun daripada kedua-dua bot terbabit, kini ditahan oleh APMM manakala mangsa yang maut pula diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. (Gambar Ehsan FB Orang Kota - Tinggi)

KOTA TINGGI, 24 OGOS: Seorang tekong bot warga Indonesia yang cuba menyeludup keluar burung murai maut selepas terkena tembakan dalam kejadian pergelutan dan cubaan merampas senjata api milik anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Kelisa di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata kejadian berlaku ketika empat penguat kuasa APMM menaiki Bot Kilat 16 yang menjalankan Op Benteng Laut 1/2020, cuba menahan satu daripada dua bot yang menyeludup keluar spesies burung murai berkenaan.

“Terdahulu, ketika empat anggota penguat kuasa berkenaan menahan dan membuat pemeriksaan ke atas bot pertama yang dikendalikan oleh dua lelaki tempatan, mereka menjumpai 90 bakul berisi burung murai batu dan murai kampung yang dipercayai cuba diseludup keluar ke Indonesia.

“Ketika cuba menahan bot kedua yang dinaiki tiga suspek pula, tekong bot terbabit telah menyerang dan berlaku pergelutan sebelum bertindak agresif dengan cuba merampas senjata api milik anggota penguat kuasa sehingga tercetusnya insiden tembakan lalu terkena pada tekong itu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, hari ini.

Nurul Hizam berkata tekong berkenaan disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Tanjung Sedili.

Beliau berkata empat suspek terdiri daripada dua rakyat tempatan dan dua rakyat Indonesia berumur 40 hingga 62 tahun daripada kedua-dua bot terbabit, kini ditahan oleh APMM manakala mangsa yang maut pula diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, dengan tangkapan tersebut, APMM Zon Tanjung Sedili berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 69 ekor burung murai batu dan 880 ekor murai kampung yang dianggarkan bernilai RM27,000.

Burung murai batu mempunyai permintaan tinggi di pasaran Indonesia dengan harganya mencecah RM200 hingga RM250 seekor manakala pasaran burung murai kampung sekitar RM10 hingga RM50 seekor, katanya.

“Dua bot, empat enjin 200 kuasa kuda serta satu enjin 40 kuasa kuda turut dirampas dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top