BM | EN | 中文

Tarik balik 29 tuduhan rasuah bekas MP Kota Tinggi atas fakta sah – SPRM

Ahli-parlimen-Kota-Tinggi-Datuk-Noor-Ehsanuddin-Mohd-Harun-Narrashid-rasuah.png

Bekas ahli parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid hadapi 29 pertuduhan rasuah

Advertisement

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Keputusan menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA yang juga bekas ahli parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan berlangsung.

“Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung pembelaan itu.

Advertisement

“Menerusi keterangan baharu yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan,” katanya, lapor Berita Harian.

SPRM berkata, saksi utama turut mengesahkan perkara terbabit sebagai wang pinjaman.

Berikutan itu, katanya SPRM merujuk kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan.

Advertisement

“Keputusan dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten.

“Pihak pendakwaan sudah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik semua 29 pertuduhan itu dalam prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu,” katanya.

Rabu lalu, media melaporkan Noor Ehsanuddin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Advertisement

Peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican, dipetik sebagai berkata, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik semua 29 pertuduhan itu ketika prosiding perbicaraan berlangsung pada 21 Mei lalu.

Katanya, perkara itu berikutan SPRM menyiasat pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta SPRM dan berpuas hati bahawa kesemua transaksi yang dituduh adalah wang duluan yang sudah dibayar balik sepenuhnya.

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Advertisement

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Advertisement

Kes di Johor Bahru dan Shah Alam dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top