JOHOR BAHRU, 10 FEB : Seekor tapir jantan ditemui mati dipercayai dilanggar van di Jalan Mersing-Jemaluang berhampiran dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat pada jam 9.45 malam.
“Bertindak atas maklumat, seramai empat orang kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Mersing telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi lebih kurang jam 10 malam, siasatan mendapati terdapat seekor tapir jantan telah mati disyaki dilanggar. Soal siasat dengan pengadu mengatakan tapir disyaki dilanggar oleh sebuah van.
“Pemeriksaan mendapati tapir tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan terdapat kesan seretan. Disyaki kecederaan tersebut telah menyebabkan tapir mati di lokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ia adalah kejadian kelima dalam tahun ini di negeri Johor dan kedua dalam tempoh seminggu.
Jelasnya, di mana kejadian terkini sebelum ini berlaku pada 4 Februari lalu di Jalan Sekakap-Mersing yang melibatkan seekor tapir betina.
“Siasatan awal juga mendapati gangguan habitat disebabkan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan telah menyebabkan tapir-tapir ini terkeluar dari habitatnya,”katanya lagi.
Johorkini