BATU PAHAT, 3 OGOS: Projek Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari (TPSPS) Bukit Payong, Batu Pahat tidak ditamatkan secara mutual termination, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan menterinya Ismail Abd Muttalib berkata, cadangan untuk menamatkan kontrak bagi projek ini adalah berdasarkan permohonan daripada kerajaan negeri melalui surat bertarikh 21 November 2018 yang berhasrat untuk membatalkan projek ini.
“Cadangan tersebut timbul ketika projek ini sedang dalam proses penangguhan, bermula daripada 16 Ogos 2018 sehingga 22 April 2019, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor.
“Walaubagaimanapun, setelah meneliti jumlah kos yang telah ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM34.7 juta, tepatnya RM34,663,262.44 sen pada waktu itu serta tuntutan bayaran pampasan kontraktor berjumlah RM20 juta, penamatan kontrak secara mutual termination itu tidak diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh melalui penyata khas parlimen dikeluarkan Kementerian itu bertarikh 24 Ogos yang dilihat Johorkini.
Tambahnya, pembinaan TPSPS Bukit Payong adalah untuk menampung sumber sisa pepejal di wilayah utara Johor dari tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahli parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh
Katanya, buat masa ini, operasi Tapak Pelupusan (TP) Bukit Bakri di Daerah Muar, TP Bekoh di Daerah Tangkak, TP Buluh Kasap di Daerah Segamat dan TP Maokil di Daerah Labis perlu diteruskan walaupun mencemarkan alam sekitar, menerima bantahan penduduk, serta sering berlaku kebakaran.
“Pembatalan projek TPSPS Bukit Payong ini tentunya akan menjejaskan pengurusan sisa pepejal di wilayah utara negeri Johor yang pada masa kini mengalami masalah kritikal berikutan tiada pusat pelupusan yang boleh menerima janaan sisa pepejal dari kawasan-kawasan tersebut.
“Selain itu, TP Ladang CEP di Daerah Simpang Renggam juga telah ditutup pada 26 Mac 2019 dan sisa dari Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Yong Peng dan Majlis Daerah Simpang Renggam terpaksa dilupuskan di TPSPS Seelong.
“Ini memberi tekanan kepada TPSPS Seelong kerana tujuan asal TPSPS ini dibina adalah bagi menampung janaan sisa pepejal di Wilayah Selatan negeri Johor sahaja.
“Secara tidak langsung, menyebabkan jangka hayat TPSPS Seelong menjadi lebih pendek kerana terpaksa menerima sisa pepejal dari PBT di luar Wilayah Selatan,” menurut kenyataan KPKT tersebut.
Johorkini