ISKANDAR PUTERI, 4 DIS: Johor bakal tampil dengan silibus baharu kursus praperkahwinan pasangan Islam tahun depan yang diharapkan dapat membantu menangani kes penceraian di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata silibus itu dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya Mac 2021.
Katanya, silibus baharu itu berikutan terdapat 2,625 kes penceraian direkodkan di Johor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, dengan Johor Bahru muncul daerah tertinggi mencatatkan kes terbabit iaitu 984 kes.
“Pada Mac tahun ini, sebanyak 299 kes direkodkan. Ini disusuli tiga kes pada April, Mei (305), Jun (311), Julai (410), Ogos (427), September (416) dan Oktober (454).
“Daripada jumlah ini, Batu Pahat mencatatkan sebanyak 384 kes, Muar (238), Segamat (102), Johor Bahru (984), Kluang (250), Pontian (179), Kota Tinggi (250), Mersing (70), Kulai (102) dan Tangkak (66),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar semalam.
Beliau menjawab soalan Zahari Sarip (PN-Buloh Kasap) yang ingin tahu sama ada terdapat keperluan untuk Johor menggubal semula silibus kursus praperkahwinan sedia ada agar bersesuaian dengan keadaan semasa.
Sebelum itu, Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) juga mempersoalkan tentang kursus yang disediakan, sama ada berkesan atau tidak dalam menangani masalah penceraian.
Menurut Tosrin, berdasarkan statistik nasihat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Johor antara Mac hingga Oktober tahun ini, antara punca utama dikenalpasti sebagai penyebab perselisihan faham ialah kerana pasangan tidak bertanggungjawab.
“Dalam konteks pasangan tidak bertanggungjawab, jumlah kes diterima adalah sebanyak 415, penagihan (118), pengabaian nafkah (234), penderaan (96) dan lain-lain (905),” katanya.
Bernama