KUALA LUMPUR, 16 MAC: Pengumuman MCA dan Umno menawarkan bantuan guaman kepada individu dikenakan kompaun RM10,000 ekoran pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 diibaratkan sebagai satu ‘kegilaan’.
Ahli parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, adalah mengelirukan apabila MCA dan Umno membuat kempen tersebut, sedangkan kedua parti itu berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melaksanakan darurat dan ordinan kompaun RM10,000.
“Apakah kegilaan ini? MCA dan Umno dalam Kerajaan Perikatan Nasional laksanakan darurat dan ordinan kompaun RM10,000 dan sekarang nak bagi bantuan guaman?
“Tangan kanan susahkan rakyat, tangan kiri nak bantu rakyat?” kata Hannah dalam satu kenyataan, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut mempersoalkan kewajaran pengumuman pelbagai bantuan kebajikan ketika kompaun dikenakan sepuluh kali ganda.
“Apa guna umum pelbagai bantuan kebajikan MyBeras di KL dan bagi beras sini sana serta ‘top up’ bantuan kebajikan JKM kepada RM1000 tapi denda sepuluh kali ganda?” soalnya.
Katanya, kerajaan PN tidak mentadbir dengan baik untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya ‘umum dulu, kompaun dulu kemudian baru nak perincikan kesalahan.’
“(Ini) mengelirukan pegawai penguatkuasa seperti polis dengan SOP mereka kemudian menambah pula beban pegawai kesihatan daerah untuk meneliti rayuan kompaun RM10,000,” katanya.
Hannah berharap rakyat membuka mata melihat ketidakcekapan dan kezaliman PN yang terdiri daripada parti PAS, Bersatu, MCA, UMNO, MIC.
Umno, MCA dan Gerakan dilaporkan tampil menawarkan bantuan khidmat nasihat guaman percuma bagi mereka yang dikenakan denda RM10,000 tersebut.
Johorkini