BM | EN | 中文

Tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi mula nampakkan hasil – PM

muhyiddin-yassin-hari-belia-negara-2020.jpg

JOHOR BHARU, 16 OGOS: Kadar pengangguran yang dilihat menurun pada bulan Jun, dilihat sebagai antara tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan kerajaan mula menampakkan hasil, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil merujuk statistik terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga Jun tahun ini, beliau berkata kadar pengangguran di negara ini secara umumnya pada bulan lepas menurun kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei tahun ini.

“Bagi kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun pula, Perdana Menteri berkata statistik turut menunjukkan penurunan kepada 9.7 peratus pada Jun berbanding 10 peratus pada Mei tahun ini.

“Alhamdulillah, ini merupakan tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan mula menampakkan hasil,” kata beliau ketika berucap pada perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, semalam.

Merujuk kepada perkembangan positif berkenaan, Muhyiddin berharap agar pelbagai usaha terus dijalankan bagi memastikan golongan belia turut bersama-sama berada di landasan pemulihan ekonomi negara yang kini berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Menyentuh mengenai golongan belia yang hilang pekerjaan ekoran penularan pandemik COVID-19, beliau berkata memahami permasalahan itu, kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada Mac lepas manakala Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pula diperkenal pada Jun.

Mengenai penyertaan golongan belia dalam ekonomi gig, Muhyiddin berkata pelancaran program Gig pada 23 Jun lepas menyaksikan penyertaan 348 belia dalam myGIG Servis manakala 522 belia pula menyertai myGIG Digital Freelance.

Beliau berkata program Gig merupakan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Dengan mengambil kira perkembangan semasa ekonomi gig, di bawah inisiatif Penjana, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM75 juta bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan melindungi kebajikan pekerja dalam sektor itu,” katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Pasukan VPG Malaysia FIFA Pri-Clubs yang mengharumkan nama negara apabila menjuarai Kejohanan VPG Piala Asia baru-baru ini sehingga melayakkan mereka ke Kejohanan VPG Piala Dunia tahun hadapan.

Selesai menyampaikan ucapan perasmian Hari Belia Negara yang bertemakan Dekad Ini Dekad Anda, Muhyiddin telah melancarkan Esports Medical Academic (Esports MedicA) di ruang pameran sempena sambutan tersebut.

Esports MedicA merupakan jawatankuasa perubatan komprehensif tertumpu kepada pemain e-sukan dan permainan video yang diterajui Majlis Belia Malaysia selain dianggotai Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Green Crescent Malaysia dan Kelab Sukan Elektronik Darul Khusus.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top