Oleh: Samsudin Semang
DALAM perang, bendera jadi panji. Kalau tangan kanan putus dipenggal, tangan kiri yang sambut. Kalau kedua tangan dipenggal, wajib diangkat dengan gigi. Pasti, panji jangan biar jatuh.
Kenapa begitu? Apa yang ada pada sehelai kain?
Lama dulu, manusia sedar keperluan tanda (simbol) untuk memaknakan sesuatu. Sebab itu setiap manusia punya nama. Dengan nama, manusia perkenalkan identitinya dan nikmati wujudnya. Begitulah fungsi tanda, perlu untuk wakilkan makna. Tanpa nama, manusia hilang tanpa tanda, tanpa makna.
Sejarah manusia bergerak, masyarakat berkembang. Masyarakat juga seperti manusia, perlukan tanda bagi mewakilkan identitinya. Salah satu daripadanya ialah bendera.
Bendera bukan benda baru. Bendera sudah ada sebelum terbinanya negara bangsa. Erti kata lain, bendera sudah ada sebelum adanya negara-negara moden yang dapat kita lihat dalam peta dunia. Setakat yang diketahui, bendera telah digunakan semenjak kurun ke-16.
1122 sebelum masihi, Maharaja Chou (pengasas Dinasti Chou) telah menggunakan kain putih sebagai bendera – dikatakan penggunaan bendera terawal yang dapat dikesan.
Perkataan ‘flag’ yang berasal dari Old Saxon (Jerman), Flaken atau Fleogan bermaksud mengibar atau mengapungkan di atas angin, memberi alamat bahawa, bendera merupakan kain (beridentiti) yang dikibarkan.
Menyusur sejarah kita, bendera terlibat dalam titik perubahan. 12.00 malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor, bendera Union Jack diturunkan dan bendera persekutuan Tanah Melayu dinaikkan. Peristiwa ini bukan macam perhimpunan sekolah setiap pagi Isnin. Naiknya bendera Tanah Melayu gantikan bendera Union Jack petanda Tanah Melayu peroleh kemerdekaan. Di balik sehelai kain yang dikibarkan, tersimpan makna darah dan airmata pejuang daulat.
Bendera Malaysia yang kita gunakan untuk perhimpunan dan kibarkan pada bulan merdeka berasal dari bendera Tanah Melayu itu tadi. Persidangan Majlis Raja-Raja telah perkenankan reka bentuk bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pengubahsuaian hanya pada bilangan jalur dan bintang pecah 14 – mewakilkan 14 buah negeri baru bagi persekutuan Malaysia.
1997, tahun ke-40 kita merdeka, bendera Malaysia dipanggil Jalur Gemilang. Di balik corak dan warna Jalur Gemilang, tersirat makna perihal negara berdaulat ini. Perpaduan, Islam sebagai agama rasmi dan kuning warna di-Raja antara makna tersirat di balik sehelai kain kibar yang dikenal sebagai Jalur Gemilang.
Sejarah tidak pernah kosong, pasti ada si sombong yang dungu akan tanah dan airnya. Jalur Gemilang beberapa kali jadi mainan olok-olok oleh si dungu. Ketika mereka percaya Jalur Gemilang hanya sehelai kain, dan patriotik hanya semangat lapok, mereka buta akan tanda dan makna.
Ketika ‘kebetulan’ Jalur Gemilang dipasang terbalik, atas apa alasan sekalipun, tahulah kita tak sedikit warga negara ini buta sejarah tanah air. Mereka yang tidak belajar sejarah pasti akan mengulangi – pesan George Santayana, untuk kita yang selalu lupa.
Johorkini