SEGAMAT, 4 MAC: Selain menafikan titah Yang diPertuan Agung (YDPA), Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut disifatkan sebagai penakut berdepan kebenaran.
Ahli jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Azhar Ismail berkata, Takiyuddin takut berhadapan suara rakyat yang akan dibawa oleh ahli parlimen.
Ujarnya, situasi hari ini yang memerlukan segala perancangan yang rapi perlu dilakukan melalui sidang Dewan Rakyat.
“Memang jelas kenyataan Takiyuddin menterjemahkan dirinya sebagai seoeang penakut.
“Apa yang perlu dielakkan? DYMM YDPA telah bertitah membenarkan sidang Dewan Rakyat bersidang.
“Jadi apa lagi halangannya sehingga beliau (Takiyuddin) terpaksa mencari alasan yang tidak munasabah untuk menghalang parlimen dari terus bersidang,” ujarnya ketika dihubungi wartawan.
Kata Azhar kenyataan Takiyuddin itu dilihat memperlekeh program vaksinasi yang dilakukan kerajaan sendiri.
“Beliau jelas menafikan vaksin itu tidak memberi kesan yang baik apabila berkata 100 ahli parlimen berisiko sehingga Dewan Rakyat tidak boleh bersidang.
“Ini helah mengelak dari kerajaan PN (Perikatan Nasional) terus dihentam dalam parlimen.
“Dewan Rakyat adalah tempat untuk wakil rakyat membawa suara rakyat yang dijangka akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan hari ini,” ujarnya lagi.
Johorkini