ISKANDAR PUTERI, 7 SEPT: Adun Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, golongan yang tidak mengambil vaksin tidak boleh ditakrifkan sebagai menyalahi undang-undang negara.
Katanya, selain dipandang serong oleh sesetengah pihak, golongan tersebut kini berdepan pihak berkuasa yang mengugut untuk mengambil tindakan kepada mereka.
“Baru-baru ini media hangat memperkatakan tentang isu golongan yang menolak untuk divaksin. Mereka dicop sebagai anti vaksin, golongan songsang bahkan ada yang diancam akan diambil tindakan oleh pelbagai pihak termasuk pihak majikan mereka.
“Secara dasarnya golongan ini sebenarnya tidak melakukan sebarang kesalahan kerana undang-undang negara belum mewajibkan mengambil vaksin bahkan fatwa pun meletakkan pengambilan vaksin sebagai ‘harus’.
“Mereka hanya mengamalkan hak asasi pesakit dalam memilih bentuk rawatan yang akan dijalaninya sepertimana yang dinyatakan dalam Arahan Awal Perubatan (Advance Medical Directive),” katanya.
Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, turut menyatakan agar kerajaan perlu berlaku adil terhadap mereka yang menolak vaksin berkenaan.
Malah, mereka yang tidak mahu divaksin atau menolak vaksin dituduh sebagai golongan anti vaksin.
“Kita perlu berlaku adil dalam perkara ini. Golongan ini telah diskriminasi dalam pelbagai bentuk seperti tidak boleh ke masjid, tidak boleh ‘dine-in’ dan sebagainya. Sebenarnya diskriminasi ini hanyalah mendedahkan kerajaan atau majikan kepada tindakan undang-undang.
“Kerajaan perlu terus mengadakan ‘engagement’ dengan golongan ini kerana sebahagian mereka menolak vaksin kerana ragu terhadap keberkesanan vaksin dan takut kesan negatif yang diterima selepas pengambilan atau dikenali sebagai ‘Adverse Events Following Immunization (AEFI)’.
“Apakah adil untuk kita menyatakan 2,500 guru dan 30,000 penjawat awam yang belum mengambil vaksin sebagai ‘golongan anti vaksin’?.
“Perpatah Arab menyatakan ‘manusia kebiasaannya memusuhi apa yang mereka tidak ketahui’.
‘Engagement’ akan memberikan pencerahan kepada golongan ini tentang vaksin.
“KKM juga telah bersetuju berkongsi data AEFI bermula minggu ini bagi memberikan gambaran sebenar kesan suntikan vaksin kepada rakyat yang telah mengambilnya.
“Pendekatan ini boleh membina keyakinan golongan ini terhadap vaksinasi,” katanya lagi.
Johorkini